Skip to content

Bintang, dan Masyarakat

July 12, 2011
Bintang-bintang di langit

Bintang-bintang di langit

Sumber gambar

[Menulis, sambil teringat scene-scene di Manchester yang telah berlalu. Oh, muhasabah kepada diri sendiri lebih dahulu. Kerana, perbincangan ini justeru terkena kepada diri sendiri. Kerana, adanya QS 61:2-3]

[Kalau ada masa, buka dahulu QS 49:13 part awal-awal, ada relevan dengan perbincangan kali ini]

Bintang-bintang yg ada di langit pada malam hari bukannya ada di situ dengan tujuan yang sia-sia, mahupun untuk tatapan kosong semata-mata.

Renung kembali, rakan-rakan!

Bisa jadi, bintang-bintang itu menjadi peneman bagi individu yang sunyi-sunyi. Kerana dia tiada teman. Dan tidak punya tempat untuk berkongsi luahan rasanya. Maka, bintang-bintang itulah yang menerangi harinya.

Tetapi, kita tidak ingin berbicara soal luahan perasaan dan cinta untuk perbincangan, kali ini. Cukuplah dengan karya2 agung di luar sana untuk berbicara tentangnya. Ada Anis Matta dengan ‘Serial Cinta’ beliau. Ada Ustaz Pahrol Mohd Juoi dengan ‘Tentang Cinta’ beliau. Ada Ustaz Hasrizal dengan ‘Aku Terima Nikahnya’ beliau. Dan lain-lain karya yang bisa berbicara dengan lebih fasih tentang cinta. Kali ini kita tidak berbicara soal itu, tetapi lain kali, bisa jadi kita berbicara soal itu. 🙂

Berbalik kepada bintang-bintang, mereka sebenarnya adalah sebuah karya monumental daripada Yang Maha Kuasa. Khas untuk kita, hamba-hamba yang sangat disayangi-Nya.

Bintang-bintang itu adalah simbol ‘harapan’. Kerana cahaya mereka itu menerangi kegelapan malam yang hitam pekat itu. Tanpa mereka, gelaplah seluruh alam ini. Tanpa arah. Dan tanpa panduan.

Mereka juga adalah simbol ‘kesatuan’. Karena mereka sama-sama berkumpul pada malam hari dalam satu bilangan yang masif, hinggakan langit tidak bisa melarikan diri daripadanya. Tanpa mereka, sunyilah alam ini. Tanpa penghuni. Dan tanpa makna.

Seperti bintang-bintang, kita sendiri adalah simbol-simbol…dalam menuju sebuah peradaban dunia yang baru. Yang akan memimpin dunia suatu hari nanti.

Untuk tahapan kita pada hari ini, cukuplah kita berbicara dalam konteks mujtama’, atau masyarakat, dalam bahasa Melayunya.

Kita adalah simbol ‘harapan’ dalam masyarakat kita. Kerana, kitalah yang menjadi saksi akan bergeraknya sebuah masyarakat itu, atau matinya sebuah masyarakat itu. Tanpa penglibatan kita dalam masyarakat, maka, masyarakat kita akan menjadi sebuah masyarakat yang punyai bilangan ahlinya, tetapi tanpa arah tuju.

Kita juga adalah simbol ‘kesatuan’ dalam masyarakat kita. Kerana, kita yang berbilang latar belakang inilah yang sama-sama hidup dalam sebuah kawasan. Yang sama-sama berjumpa, duduk, dan berbicara antara satu sama lain. Berkumpulnya kita, bisa membentuk sebuah masyarakat yang hidup harmoni, dan bahagia.

Masyarakat yang ‘hidup’, ialah masyarakat yang mengenali antara satu sama lain. Ya, kenal! Dan saling memahami. Mana mungkin kita bisa membentuk peradaban dunia, jika kita tidak mengenali antara satu sama lain?

Salah satu basis kepada sifat ‘Mutsaqqaful Fikri’ atau ‘Luas Ilmu Pengetahuan’ ialah ‘knowing one thing about everything’, selain daripada ‘knowing everything about one thing’. Di mana, mengenali the basics of ahli masyarakat itu sudah memadai untuk memenuhi basis yang pertama, daripada tidak kenal langsung. Bukan hanya untuk orang-orang di atas, tetapi untuk orang-orang di bawah.

Nah, boleh rujuk semula QS 49:13. Bahagian awal-awal. Dan lagi elok kalau disambung sampai akhir ayat. 🙂

Juga, doakan agar saya dapat menjadi orang yang beramal ya. 🙂

Menulis di persinggahan.

Siap ditulis pada 2.56 pagi, 29 Jun 2011 di Changi Airport, Singapore.

Bersendiri, ditemani penungguan 14 jam sebelum flight pulang ke Penang.

Doa: Fungsi dan Keyakinan

July 12, 2011
Berdoa itu kekuatan. Dan harapan.

Berdoa itu kekuatan. Dan harapan.

Sumber gambar

Ini ialah perbincangan antara dua orang rakan baik (dengan sedikit perubahan daripada teks asal).

Ia berkisarkan ‘doa’.

Latar masa hampir antara setahun setengah hingga ke dua tahun lepas.

___

X:

– ape fungsi kita minta itu?

– kita minta apa yg kita mahu

– tp…klu mmg dah ditakdirkan xkan dpt

– bek xyah mntak trus en

– tp aku berpegang pd 2:186

– jadi aku berdoa aje

– (wlupon tak taw akan dpt ke dak)

Y:

– doa tu ialah tanda ubudiyah

– doa tu tanda uluhiyah

– kita berdoa bukan utk dptkan apa yg kita nak

– tapi utk mengilahkan Allah

– sbb bile kita doa

– kite menunaikan fungsi iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in

– sbb tu kite tak mintak kat benda selain Allah

– tak mtk kat mak ayah

– tak mtk kat duit

– mtk kat Allah

– baru Allah bagi

– tapi perlu letak fungsi doa tu pada tempat yg betul dulu

X:

– fungsi?

Y:

– aah

– fungsi doa tu ialah utk mengesakan Allah

– utk meminta pada Allah shj

– ni tak

– kita doa

– tapi after that kita cam tak yakin kat Allah

– cam tak mtk kat Allah

– cth la

– ko mtk kat aku pensel

– “…nak pensel…”

– tapi dgn muka pndg tempat lain

– mtk dari jauh2

– haa

– cam taknak je pensel tu

– sama la cam doa

– kdg2 kita rasa kita berdoa

– tapi kita tak letak fungsi doa tu tmpt yg betul

– kita da doa sungguh2, sume2 dah

– satu je blom

– iaitu yakin dan percaya kat Allah

___

p/s: Selepas solat janganlah sombong-sombong ya. Berdoa. Dan terus berdoa. Dan terus berdoa. Hingga ke akhirnya. Biarlah berdoa, meskipun dengan doa yang paling ringkas sekalipun… :

‘rabbanaa atiina fid dunya hasanah, wa fil aakhirooti hasanah, waqinaa ‘azaabannaar’

p/s/s:

– Kalau manusia, kita meminta sesuatu benda itu berulang-ulang kali kepadanya…dia bisa jadi malas hendak melayan.

– Kalau Allah, kita meminta sesu0atu benda itu berulang-ulang kali kepada Dia…lagi Dia akan suka kepada kita.

___

Kamal Haziq, Pulau Pinang

4.02 petang. 12 Julai 2011.

Pahlawan dan Kelembutan

June 9, 2011

Medina Mosque, Manchester, Oktober 2010

Kita biasa mendengar tentang pahlawan. Kita juga biasa berbicara soal pahlawan.

Andai perkataan tersebut kita dengar sekali imbas, apakah yang akan kita bayangkan?

Pasti, akan terbayang sang panglima perang, yang terus-terusan menembusi benteng musuhnya dalam peperangan demi peperangan. Dia seperti angin, yang akan terus dan terus bertiup, meskipun terpaksa menghadapi gunung yang paling kukuh di atas muka bumi. Dia teguh. Dia tegar. Dan berani!

Atau bisa juga, akan terbayang sang da’i, yang hebat amalan dakwahnya. Pagi, petang, siang dan malam dia bekerja, seperti deruan ombak yang tidak pernah berhenti memukul tepian pantai.
Dia istiqomah. Dia bersemangat. Dan optimis!

Juga, mungkin akan terbayang sang orator, yang bisa menghidupkan jiwa-jiwa yang mendengar pidatonya. Kata-katanya ibarat mentari di siang hari, di mana mentari itu menerangi seluruh alam yang dijangkauinya, lalu mencetuskan energi. Dia mempersonakan. Dia bijaksana. Dan hidup!

Jika kita memerhatikan semua gambaran di atas, pahlawan itu digambarkan sebagai seorang yang hebat. Seorang yang bisa mengubah dunia. Tidak ada istilah ‘orang biasa-biasa’ di situ, kerana mereka merupakan orang-orang yang luar biasa. Namun, kita lupa akan satu ciri yang perlu ada pada setiap daripada mereka yang bergelar ‘pahlawan’.

Di situlah adanya ‘kelembutan’.

‘Kelembutan’ itu tidak merujuk kepada peribadinya yang lemah. Tidak sama sekali. Kerana ingat, mereka luar biasa! Merekalah agen pembentukan peradaban dunia.

‘Kelembutan’ itu merujuk kepada peribadinya yang berjiwa penyayang. Setiap manusia itu punya fitrah untuk menyayangi dan disayangi. Pahlawan juga tidak bisa melarikan diri daripada itu. Bahkan, dia harus meraikannya.

Ingatkah kita akan kisah Salahuddin al-Ayyubi yang telah memberikan buah tangan kepada King Richard I ketika Richard jatuh sakit? Nah, kita sedang berbicara tentang dua musuh dalam Perang Salib III. Tetapi, sifat penyayang itu masih ada dalam diri Salahuddin. Jangan dilupakan, bahawa Salahuddinlah yang telah menyatukan tentera Muslimin untuk bangkit menentang tentera Salib.

Itulah pahlawan. Hebat di medan perang. Dan punya jiwa yang penyayang.

Itulah peribadi yang mampu menarik sokongan masif orang ramai.

Bayangkan seorang panglima perang, yang tidak punya kelembutan itu…nescaya orang-orang yang tidak berdosa akan habis dibunuhnya, seperti banjir menderas yang menhanyutkan semua yang menghalang perjalannya.

Bayangkan seorang da’i, yang tidak punya kelembutan itu…nescaya akan mudah melenting apabila seruannya ditolak, seperti mencurah minyak kepada api yang sedang terbakar.

Bayangkan seorang orator, yang tidak punya kelembutan itu…nescaya kata-kata indahnya itu bisa menjadi bahan untuknya menjatuhkan orang lain. Di situ, mulut murai yang becok itu lebih mulia daripada mulutnya yang berbicara.

Nah, kini, anda sudah pasti nampak perkaitan antara ‘pahlawan’ dan ‘kelembutan’, bukan?

 

__

Kamal Haziq, Manchester

5.39 pagi, 9 Jun 2011

Mulut: Antara Cinta dan Benci

May 25, 2011
Raya MCOT 2009: Manchester

Raya MCOT 2009: Manchester

.

Apabila kita berbicara tentang ‘cinta’ dan ‘benci’, kita akan dapat terus mengetahui bahawa kedua-dua elemen itu sangat berbeza antara satu sama lain. Kedua-dua elemen itu seperti air dan api. Berbeza! Dan tidak akan pernah bisa satu.

Cinta itu ibarat sang motivator untuk kita meneruskan hidup sehari-hari. Ianya seperti air, yang berterusan mengalir di sungai, tanpa henti! Cinta itu memberikan semangat. Dia memberikan kekuatan. Dan kehidupan.

Benci itu pula seperti sang pemusnah, yang menjadikan kehidupanmu tidak bisa dinikmati lagi. Dia seperti api yang membakar, hingga pada akhirnya kesemua yang berada di laluannya lenyap, hangus dan tiada! Benci itu melenyapkan kemanusiaan. Juga, dia menghilangkan makna kehidupan.

Mulut manusia itu bisa menjadi pencetus kepada salah satu daripada keduanya. Hanya satu sahaja yang bisa terjadi ketika anda berbicara kepada orang lain: itulah dia cinta, atau benci. Tiada jalan tengah di antara keduanya.

Ketika mulut manusia itu menghasilkan cinta, maka, dunia dan segala isinya menjadi indah.

Satu ayat daripada mulut, bisa mendamaikan sebuah negara.

Satu ayat daripada mulut, bisa menambahkan seorang rakan baru.

Namun, ketika mulut manusia itu menghasilkan benci, maka, dunia ini bahkan menjadi sebuah gelanggang hidup yang tidak ada lagi ertinya untuk didiami.

Satu ayat daripada mulut, bisa mencetuskan sebuah perang.

Satu ayat daripada mulut, bisa menghasilkan seorang musuh.

Justeru, pilihlah. Pilihlah sama ada untuk menjadikan mulut anda sebagai agen untuk cinta, atau agen untuk benci.

Kerana bisa jadi, mulut burung murai yang kecoh itu, lebih mulia daripada mulut manusia yang berbicara.

“Barangsiapa yang menjamin untukku apa yang berada di antara dua rahangnya dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan) maka aku akan menjamin baginya al-jannah (surga).” [HR. Bukhari]

___

Kamal Haziq, Manchester.

26 Mei 2011. 11.44 pagi.

Cinta Dari Langit

April 26, 2011
Di North Wales (Disember 2009)

Di North Wales (Disember 2009)

Setiap detik, akan ada insan yang merenung ke arah langit. Ya, ke arah sang langit yang selalu menemani kita di luar sana itu. Ianya indah dan terang. Dan luas.

Insan itu mencari keamanan. Dia mendambakan kedamaian. Dan dia mengimpikan ketenangan. Dan itu menghasilkan cinta.

Kerana, bagi insan tersebut, langit melambangkan harapan. Keindahan langit biru itu seakan-akan memberikan makna kepada hidupnya. Terangnya langit biru itu dijadikan penyuluh untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Dan keluasan langit biru itu memberikan motivasi kepada jiwanya untuk terus hidup.

Seperti itulah jiwa sang hamba yang sejati. Penuh dengan harapan! Hari-hari yang mendatang dihadapinya dengan penuh optimis, seperti mana sang angin yang akan berterusan bertiup, meskipun terpaksa menempuh gunung yang megah dan kukuh dalam laluannya.

Dia akan menghadapi harinya dengan perasaan redha kepada sang Pencipta, seperti mana gembiranya bumi yang tandus menerima hujan dari langit. Dia bersyukur terhadap apa saja yang diberikan oleh sang Pencipta. Tidak kisahlah sama ada hari itu baik atau buruk dari segi pandangan manusia. Kerana, segala yang datang dari-Nya itu sememangnya yang terbaik bagi dirinya! Dari situ, sang Pencipta akan membalasinya dengan cinta. Dia mengembalikan semula redha-Nya kepada hamba-Nya itu. Nah, redha apakah yang lebih besar selain dari redha daripada Yang Maha Berkuasa?

Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya.

[Al-Bayyinah, 98 : 8]

Dan, dia tidak pernah berputus asa dalam mengharungi hari yang panjang itu. Hari panjang yang semestinya menyediakan ruang-ruang untuk dirinya melakukan dosa. Kerana dia bukan maksum. Mereka yang biasa-biasa, mungkin tidak bisa berbuat apa-apa dengan dosa itu, selain daripada menolak diri mereka sedikit demi sedikit ke jurang neraka. Tetapi sang hamba yang sejati bisa mengubah dosa itu menjadi cinta. Dia seperti sang ombak, yang berterusan menyeru pepasir di pantai, agar dapat bersama hanyut di lautan yang luas itu.  Dia berterusan memohon ampun kepada Tuhannya, akibat kelemahan dirinya yang terjatuh ke lembah dosa. Kerana dia yakin, bahawa sang Pencipta sangat menantikan hamba-Nya yang penuh salah dan silap untuk kembali kepada-Nya. Menjalin cinta, antara seorang hamba, dengan Tuhannya.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…

[At-Tahrim, 66 : 8]

Nah, cubalah kalian pandang ke langit yang luas itu. Dan, tanamkanlah harapan dalam dirimu!

Kerana langit itu selalu ada. Dan, kerana harapan itu masih ada.

___

Kamal Haziq, Manchester.

26 April 2011, 5.11 petang.

Antara Dua

April 15, 2011
Di Menara Eiffel, Paris (April 2011)

Di Menara Eiffel, Paris (April 2011)

Langit pada siang hari menyaksikan sang mentari menyinar dengan seterang-terangnya, dan melimpahkan cahayanya kepada sekalian alam. Terang, jelas, dan hidup. Dan, cahaya itu semuanya berasal dari jasad yang satu. Segala keindahan itu berasal daripada jiwa yang satu. Tidak berpisah, bahkan memberikan energi kepada seluruh alam buana!

Langit di malam hari pula menyaksikan ribuan bintang yang bergemerlapan. Sungguh, tidak terhitung bilangannya. Indah, sangat indah sekali. Memukau mata yang memandang. Namun, sayang, mereka hanya bisa berdekatan, tetapi tidak menjadi satu. Mereka asing…mereka terpisah-pisah! Tidak ada satu bintang di atas sana yang kelihatan menyatu.

Seperti itulah cinta. Apabila ia digapai, diterima dan dilaksanakan, ia akan mencantumkan jiwa-jiwa menjadi satu. Ia juga bisa memberikan impak yang dahsyat kepada jiwa-jiwa yang berkenaan, dan juga kepada seluruh peradaban manusia. Ia menjadikan kehidupan mereka semua itu ‘hidup’. Segala-galanya menjadi indah, aman, damai dan satu, seperti sang mentari pada siang hari.

Lihat sahaja kisah Muhammad SAW dan Khadijah r.a., sebuah kisah cinta sejati antara dua insan. Cinta yang mekar. Cinta yang damai. Dan, cinta yang menjurus kepada sebuah anjakan paradigma di tanah Arab ketika itu. Dengan inspirasi dan kekuatan yang diberikan oleh Khadijah kepada Muhammad SAW, justeru, itu telah memberikan semangat yang tiada taranya. Ketika Muhammad SAW ditolak oleh masyarakat yang didakwahinya, Khadijah ada di sisi. Memujuknya. Mengubati hati yang luka. Memberikan kasih sayangnya! Justeru, itulah punca energi kepada Muhammad SAW, sehingga dapat terus menyebarkan risalah agung, dan bisa menyampaikan cahaya daripada sang Pencipta kepada manusia lain. Nah, di situ nampak pentingnya seorang isteri yang solehah kepada para da’i, bukan?

Dalam pandangan yang lain, seperti itulah cinta, apabila ia tidak digapai, tidak diterima dan tidak dapat dilaksanakan, ia akan memisahkan jiwa-jiwa. Ya, ia tetap akan indah, kerana cinta itu akan sentiasa indah seperti indahnya kerdipan bintang-bintang di malam hari. Tetapi ia akan menyakitkan jiwa-jiwa. Ia akan mewujudkan istilah-istilah seperti ‘sepi’, ‘sendiri’, ‘kecewa’ dan ‘sedih’. Segala-galanya menjadi suram, gelap, tidak bermakna…dan tidak akan menyatu, seperti bintang-bintang yang asing antara satu sama lain  di malam hari.

Siapa sangka, Sayd Qutb sebenarnya ada kisahnya yang tersendiri. Tentang cinta. Cinta yang tidak tergapai. Dua kali dia mengharap, dan dua kali jugalah dia putus cinta. Dia juga manusia, dan oleh kerana itu dia bisa menangis…dan dia pernah menangisi kegagalan cintanya. Puisi-puisi terhasil…yang menggambarkan kekecewaannya terhadap apa yang telah berlaku. Nah, begitu dahsyatnya penangan cinta itu, andai ia tidak bisa digapai!

Cuma, yang membezakan Sayd Qutb dengan mereka yang biasa-biasa ialah dia akhirnya telah bangkit semula, meskipun pernah pada suatu ketika kehidupan ini pernah meninggalkan luka yang dalam di hatinya. Ya, dia pernah gagal. Ya, dia pernah kecewa dengan sangat dahsyat. Namun, akhirnya, dia telah mati sebagai pejuang. Dia mati tanpa perlu ada isteri di sisinya. Mati syahid…di tali gantungan! Kerana, dia ialah seorang pahlawan. Ya, seorang pahlawan!

___

Kamal Haziq, Manchester

15 April 2011, 9.54 pagi.

Cinta dan Pahlawan

April 14, 2011
Di Stadium Melawati, Shah Alam - Program Save Gaza (Januari 2009)

Di Stadium Melawati, Shah Alam - Program Save Gaza (Januari 2009)

Dalam sejarah peradaban dunia yang tidak pendek itu, ada tercatat nama-nama pahlawan agung. Pahlawan-pahlawan agung yang telah menggoncang dan mengubah dunia dengan tangan mereka sendiri. Dan, mereka tidak akan luput daripada ingatan manusia. Kematian sekalipun tidak akan pernah mampu membina tembok pemisah antara mereka dan insan-insan yang masih menghembuskan nafas atas bumi ini.

Persoalannya, apakah motivasi mereka untuk menggapai kegemilangan yang telah dikecapi itu? Apakah dorongan yang telah menarik mereka semula ketika mereka jatuh dan seakan-akan kelihatan tiada langsung harapan untuk bangkit?

Mudah sahaja jawapannya. Ketika Allah SWT menurunkan rahmat-Nya yang tersimpan rapi dalam istilah ‘cinta’ kepada insan-insan terpilih, justeru, itu mengubah mereka daripada menjadi orang biasa menjadi sang pahlawan yang bisa mencorak suatu peradaban dunia yang baru. Dan mereka bukanlah hanya mimpi yang tidak sudah-sudah, tetapi merekalah realiti!

Muhammad SAW misalnya, telah mengeluarkan tamadun manusia yang berada dalam kegelapan dan durjana, dan telah membina asas kepada sebuah tamadun yang gilang-gemilang, yang akhirnya memegang tampuk kekuasaan dunia. Ya, kekuasaan dunia! Motivasi baginda hanyalah satu, iaitu cinta kepada sang Pencipta, yang telah menurunkan ayat-ayat cinta-Nya kepada baginda, yang telah memberikan mata, telinga, dan mulut kepada baginda untuk hidup. Cinta agung yang telah mengalir masuk dan menjadi sebahagian daripada darah daging baginda, yang menjadikan baginda tidak pernah lelah berdakwah siang dan malam kepada manusia di jazirah Arab suatu ketika dahulu. Itu semua dilakukan baginda kerana cinta! Dan kesannya sampailah ke hari ini, 1400 tahun selepas usaha-usaha baginda berlangsung. Lihatlah, di mana-mana sahaja ada Islam!

Lihat pula pada As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Kondisi masyarakat yang semakin runcing pada zamannya telah menggerakkan pemikiran dan sendi-sendinya untuk menegakkan semula apa yang haq dan menumpaskan yang batil. Justeru, sebagai salah satu wasilah untuk menyebarkan yang haq ini, beliau telah menubuhkan gerakan Islam yang diberikan nama Ikhwanul Muslimin. Semuanya dilakukan kerana cinta kepada al-haq. Cinta kepada sang Pencipta. Mereka yang tidak punyai rasa cinta ini sudah pasti tidak akan punyai semangat dan tekad yang membara seperti yang ada pada diri beliau, tetapi sebaliknya hanya akan duduk, berdiam diri dan menjadi sebahagian daripada statistik ‘orang yang Islam yang tidak Islam sepenuhnya’. Lihatlah kesan dakwah beliau pada hari ini. Gerakan Ikhwanul Muslimin telah tersebar menjadi harokah Islamiyah yang terbesar di dunia, dan telah tersebar ke lebih daripada 80 buah negara.

Lihatlah pula kepada As-Syahid Syaikh Ahmad Yassin. Ya, beliau lumpuh. Ya, beliau lemah secara fisik jika dibandingkan dengan jutaan manusia di atas muka bumi ini. Namun, tidak ada insan yang masih hidup pada hari ini yang akan pernah bisa menyaingi semangat beliau. Tidak ada! Kelemahan fisik tidak akan pernah bisa menjadi halangan, andai jiwamu seteguh dan sekukuh gunung, yang berterusan menjadi pasak atas muka bumi ini. Dalam kondisi fisik yang sebegitu, beliau masih mampu menggagahkan diri untuk bangkit dan menggetarkan sang Zionis laknatullah. Intifadah dan penentangan dilakukan. Semuanya dilakukannya kerana cinta beliau yang kukuh terhadap kiblat pertama umat Islam. Juga, cinta yang tidak pernah berhenti kepada janji syahid. Cinta yang tulus kepada sang Pencipta… Dan ingat, kita sedang berbicara dengan insan yang lumpuh fisiknya, tetapi punyai jiwa besar yang bersinar dengan sangat terang, mengalahkan kesemua bintang di alam semesta ini.  Hinggakan, sang Zionis perlu membunuh beliau dengan misil daripada helikopter Apatche, lantaran ketakutan dan kegerunan mereka kepada beliau. Perginya beliau tidak menghentikan perjuangan di bumi Palestin, namun beliaulah yang menjadi teladan kepada para pejuang di Palestin, yang bercita-cita untuk menamatkan riwayat sang Zionis di bumi mereka.

Para pahlawan agung ini pada hakikatnya, telah melakukan kontribusi yang teramat besar di atas bumi ini, agar mereka akhirnya dapat bersama-sama memacu cinta di syurga yang kekal abadi.

Nah, anda masih lagi meragui kehebatan cinta? Tanpa cinta, maka tidak akan pernah wujud pahlawan-pahlawan yang mencorak peradaban dunia…

___

Kamal Haziq,

Siap ditulis dalam perjalanan di atas tren dari Toulon ke Marseille, 13 April 2011, 12.32 tengah hari.